Tuesday, July 7, 2009

'Kehadiran Tunku Ibrahim, hadiah perkahwinan kami'



TUNku Ibrahim Ismail menepung tawar pasangan pengantin Orang Asli di Kampung Segamat Kecil, Segamat, semalam.

SEGAMAT 5 Julai - Sepasang pengantin baru dari Kampung Orang Asli Segamat Kecil di sini merasa bertuah kerana hari bersejarah mereka diraikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar.

Bagi Kamarul Seda, 34, dan Noridah Aris, 25, kehadiran Tunku Mahkota sempena Kembara Mahkota Johor Jelajah Pedalaman (KMJJP) ke majlis perkahwinan mereka adalah satu hadiah yang tidak ternilai.

Mereka yang bernikah pada 26 Jun lalu di Surau Nurul Taqwa, Kampung Orang Asli Segamat Kecil di sini akan mengingati hari bersejarah ini sepanjang hayat.

"Memang berdebar sebab pertama kali meraikan majlis besar dan tambah pula dihadiri oleh Tunku Mahkota. Bagi kami semua ini adalah hadiah perkahwinan.

"Kebetulan apabila kami bertemu Tok Batin dan menyatakan hasrat untuk bernikah, dia cadangkan majlis perkahwinan kami dirai semasa Tunku Mahkota datang melawat kampung," kata Noridah.

Dia yang mula berkenalan dengan Kamarul sejak setahun lalu berkata, majlis perkahwinan mereka dibuat secara adat lama.

Selain menyaksikan majlis perkahwinan raja sehari itu, rombongan KMJJP turut meraikan dua orang saudara baru iaitu Ariff Mohd. Yasin, 30-an dan Zaidin Ariffin, 17.

No comments:

Post a Comment