Saturday, August 22, 2009

Segamat, Johor: Pasar babi, pasar ikan

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

Pengguna kesal PBT tidak peka perasaan umat Islam

SEGAMAT: Tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) merobohkan separuh daripada tembok lokasi jualan babi untuk dijadikan sebagai tempat jualan ikan di Pasar Awam Segamat mewujudkan suasana tidak selesa kepada peniaga dan pelanggan di kalangan umat Islam yang berkunjung ke pasar itu.

Sebelum ini, lokasi jualan babi yang dikatakan hanya mempunyai kira-kira lima peniaga itu terletak bersebelahan lokasi pasar utama dengan dibina tembok pemisah menyebabkan kewujudannya hampir tidak diketahui.

Namun sejak kira-kira seminggu lalu, PBT terbabit dikatakan merobohkan tembok itu sebelum dibina dengan separuh tembok lain yang diubah suai untuk dijadikan tempat jualan ikan sehingga menjadikannya terletak betul-betul bersebelahan dengan lokasi jualan babi.

Tinjauan mendapati keadaan pasar itu yang sudah lama dan dalam proses membaik pulih, menjadikan suasana tidak selesa dan keadaan itu diburukkan lagi dengan kewujudan tempat jualan babi yang terletak di bangunan di tengah pasar itu dan bersebelahan dengan tempat jualan runcit, ikan, ayam dan sayur.

Selain itu keadaan tembok separuh yang memisahkan tempat jualan babi dengan jualan barangan lain juga boleh menyebabkan suasana yang kurang selesa dan bau yang kurang menyenangkan terutama selepas hujan lebat.

Peniaga Zaharah Saad, 56, berkata beliau membantah jualan babi di kawasan bersebelahan dengan jualan ikan yang hanya dipisahkan dengan separuh tembok kerana ia menyebabkan bau busuk sehingga menimbulkan keadaan kurang selesa kepada penjual lain dan pembeli.

Katanya, pihak berkenaan terutama PBT dan penjual babi perlu memahami sensitiviti penjual dan pelanggan pasar itu yang kebanyakannya umat Islam dengan memastikan jualan babi dapat dijalankan secara tertutup dan terletak jauh daripada jualan barangan keperluan lain.

“Kenapa benarkan ikan dijual bersebelahan dengan orang jual babi sedangkan pasar ini mempunyai lebih ramai penjual dan pembeli Islam. Saya faham negara ini mempunyai masyarakat majmuk tetapi ada hadnya kerana ia membabitkan akidah umat Islam, ” katanya.

Seorang lagi peniaga yang enggan dikenali berkata, setiap kali hujan lebat menyebabkan aliran air daripada tempat jualan babi itu akan melimpah sehingga ke kawasan tempat jualan lain dan keadaan itu diburukkan lagi apabila sebahagian pasar itu dalam proses diroboh untuk dibina baru yang sekali gus menyebabkan berlaku takungan air.

Sehubungan itu beliau meminta pihak kerajaan mengalihkan tempat jualan babi itu ke lokasi lain bagi memberi keselesaan kepada penjual dan pembeli lain, selain mewujudkan persekitaran pasar yang lebih bersih.

(SUMBER;http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Wilayah/20090820095507/Article/)

No comments:

Post a Comment