Wednesday, June 24, 2009

Berita Harian: Dua ditahan tampal iklan along



Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

SEGAMAT: Unit Gempur Penguatkuasa Majlis Daerah Segamat (MDS) menahan dua lelaki ketika mereka leka memasang poster dan pelekat iklan ceti haram, di Taman Jenaling, dekat sini, kelmarin.

Dalam operasi kira-kira jam 3 petang itu, kedua-dua lelaki berusia awal 30-an itu dikesan sedang menampal poster dan pelekat di sebatang pokok pokok di taman berkenaan.

Setiausaha MDS, Mustafa Kamal Shamsudin, berkata kedua-dua lelaki yang berasal dari Johor Bahru itu mengaku bekerja dengan sebuah syarikat di Seremban, Negeri Sembilan dengan masing-masing menerima bayaran sebanyak RM40 sehari untuk menampal poster terbabit.

Katanya, kedua-dua lelaki itu dibebaskan selepas kenyataan mereka direkodkan dan membayar kompaun sebanyak RM250 mengikut Undang-undang Kecil 3 (Vandalisme).

"Ini adalah kali pertama kita berjaya menahan mereka yang sedang menampal poster dan pelekat mengenai iklan ceti haram di daerah ini," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, semalam.

Katanya, operasi terbaru untuk menurunkan iklan ceti haram itu dijalankan oleh enam anggota unit itu mulai jam 2 petang kelmarin di sekitar Kampung Abdullah, Taman Segar dan Taman Jenaling.

Beliau berkata, MDS sentiasa menjalankan operasi berterusan bagi menurunkan poster, sepanduk dan pelekat mengenai iklan ceti haram yang ditampal di sekitar bandar ini termasuk di pokok, tiang telefon, pintu kedai, pondok telefon dan perhentian bas.

Mustafa berkata, sejak awal tahun ini, sebanyak 8,434 iklan ceti haram termasuk iklan tanpa kelulusan dan tamat tempoh berjaya diturunkan di sekitar daerah Segamat.

Katanya, berkata, iklan itu bukan saja dipasang tanpa mendapatkan kelulusan MDS, malah lokasinya di kawasan awam terutama di batang pokok dan tiang telefon mencemarkan pemandangan bandar itu.

"Sehubungan itu MDS akan menjalankan operasi secara berterusan bagi memastikan semua kawasan Segamat bebas daripada menjadi sasaran iklan tanpa lesen terutama iklan ceti haram," katanya.

Katanya, semua iklan di tempat awam, perlu mendapat kelulusan MDS dan mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan itu boleh didakwa mengikut undang-undang kecil dan boleh dikenakan penalti sehingga RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Mustafa Kamal turut meminta orang ramai supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan memasang iklan tanpa kelulusan yang sah.

(sumber;http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Wilayah/20090623093913/Article/index_html)

No comments:

Post a Comment